Adakah anda pernah mengembara ke Bandung, Indonesia?
Pada tahun 2017, pertama kali saya menjejakan kaki di bumi Indonesia
bersama rakan-rakan . Masih terngiang-ngiang di benak fikiran saya perjalanan
mengembara di Bandung. Bukan sekadar mengembara biasa namun penuh dengan
kenangan terindah. Kami bertolak ke KLIA pada pukul 12 tengah malam. Kami tidur
di kaki lima KLIA untuk menunggu penerbangan yang dijangka pukul enam pagi. Keesokan
harinya, tepat jam 12 tengah hari kami tiba di lapangan terbang Husein
Sastranegara . Masih terasa angin yang sungguh nyaman dan sejuk menampar wajah
kami.
Kami menuju ke rumah tumpangan dan mempersiapkan diri untuk keluar
berjalan-jalan. Kami melawat dua buah sekolah di Bandung iaitu Pasentren
Al-Ashr Al-Madani dan Sekolah Yayasan Moseim . Semua pelajar di sana sangat
peramah. Kami membuat beberapa aktiviti di sana untuk mengeratkan lagi hubungan
antara kami dengan pelajar-pelajar tersebut. Selain itu, kami juga saling
berkongsi keindahan dan keunikan negara masing-masing. Terlalu banyak maklumat
baru yang kami perolehi tentang Bandung.
Di sana juga, kami tidak melepaskan peluang untuk mencuba makanan mereka. Masih
terasa sehingga kini keenakan nasi bakar dan ayam pepes serta digandingkan
dengan teh o gratis. Kami juga sempat melawat tempat-tempat yang terkenal di Bandung.
Kami berpeluang melawat Farm House Lembang yang berkonsepkan kota eropah kecil.
Seterusnya, kami mengunjungi Paskal Food Market yang merupakan syurga makanan
bagi penduduk di sana pada ketika waktu malam. Namun begitu, kami sangat
berhati-hati ketika memilih gerai makanan kerana di sana makanan halal dan
tidak halah bercampur. Antara makanan yang kami sempat cuba di tempat itu ialah
jagung bakar. Selain Paskal Food Market, Pasar Baru juga salah satu tempat yang
wajib dilawati ketika di Bandung. Hal ini kerana tempat tesebut merupakan
tempat untuk membeli belah cenderahati untuk dibawa pulang kepada orang yang
tersayang. Sehingga ke hari ini, setiap kali menonton drama Indonesia, sudah
pasti fikiran saya mengimbau kembali suasana di pasar baru itu dan keadaan
trafik di sana.
Sampai di sini sahaja yang mampu saya ceritakan pengalaman saya ketika
mengembara di Bandung, Indonesia bersama rakan-rakan. Semoga ada rezeki untuk
menjelajah di tempat lain pula.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan