Khamis, 23 Julai 2020

JAUHI PERASAAN AMARAH

 

Adakah anda pernah diselubungi rasa marah?

Marah merupakan satu perasaan yang wujud secara semulajadi dalam diri setiap manusia. Perasaan marah akan muncul secara spontan tatkala kita disakiti, ditipu, dipanggil dengan gelaran yang mengaibkan atau ketika kita menghadapi masalah. Walaupun begitu, perasaan tersebut tidak seharusnya dilayan kerana marah merupakan bisikan dari syaitan dan iblis yang durjana. Ketika kita sedang marah, syaitan-syaitan akan berlumba-lumba untuk memasuki salur darah individu tersebut lalu menyebabkan kita hilang pertimbangan akal fikiran, manakala wajah mulai merah dengan degupan jantung semakin kencang. Islam sebagai agama yang sangat indah menegah umatnya daripada melayani sifat marah atau baran keterlaluan.

Amarah bukan sahaja memberi impak negatif kepada individu itu sendiri, bahkan orang di sekelilingnya juga turut terkena tempiasnya. Jika dapat kita perhatikan, mutakhir ini banyak kes yang berlaku berpunca daripada sifat amarah ini seperti kes pergaduhan, penceraian, penderaan dan yang paling teruk boleh membawa kepada pembunuhan. Ini jelas menunjukkan bahana sifat amarah itu. Oleh sebab itu, kita sepatutnya menundukkan perasaan marah itu dengan sifat sabar seperti mana yang diajar dalam agama islam. Sabar mampu meleraikan pergaduhan dan melembutkan hati yang tengah panas. Di sini terdapat beberapa pesanan yang baginda SAW titipkan kepada kita sewaktu kita sedang marah, antaranya ialah:

1- Duduk jika sedang berdiri dan berbaring jika sedang duduk

2- Mengambil wudhu

3- Mengelakkan diri daripada membuat sebarang keputusan besar

4- Berdiam diri sewaktu marah adalah lebih baik kerana dalam keadaan marah, perkataan-perkataan yang diungkapkan berkemungkinan akan mengguris perasaan orang lain dan mungkin memberi ancaman kepada diri sendiri.


Nabi SAW bersabda:

لَيسَ الشَّدِيدُ بِالصَّرَعَةِ إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَملِكُ نَفسَهُ عِندَ الغَضَبِ

Maksudnya: seseorang yang kuat itu bukanlah yang handal bergusti, sesungguhnya seseorang yang kuat itu ialah orang yang mampu mengawal dirinya sewaktu sedang marah.

Kesimpulannya, jauhilah sifat marah serta siramilah ia dengan kesabaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan