Sabtu, 25 Julai 2020

KURSUS BBK3410

Dalm entri sebelum ini, saya ada berkongsi tentang pengalaman memasuki kuliah Penglahiran Bakat Kreatif, kali ini saya mengemukakan perasaan saya sepanjang menghadiri kuliah tersebut. Saya sangat minat ketika Dr. Kamariah menceritakan pengalaman beliau dalam bidang sastera ini. Selain itu, beliau juga menceritakan pengalaman beliau yang pernah bersama sasterawan-sasterawan negara dan juga cara bagaimana beliau memperolehi idea.  Bukan itu sahaja, saya juga dapat mengetahui serba sedikit mengenai Sea Write Awards dan mengenali dengan lebih mendalam tentang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Selain daripada ilmu, menerusi kuliah ini, saya dapat memperbetulkan sikap saya selama ini terutama dalam bab masa. Saya dapat melatih diri untuk lebih berdisiplin dan menepati waktu kerana kelas bersama Dr. Kamariah pada jam 9 pagi. Beliau sangat menitikberatkan tentang masa dan paling pantang pelajar yang datang lewat.

Banyak lagi yang ingin saya kongsikan tetapi masa begitu mencemburui saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr. Kamariah kerana mendidik saya dan rakan-rakan tanpa rasa penat dan lelah. Saya juga ingin menyusun sepuluh jari andai ada kesilapan yang saya lakukan sepanjang saya menghadiri kelas Dr. Saya akhiri entri kali ini dengan serangkap pantun.

Kalau ada sumur di ladang,

Boleh saya menumpang mandi,

Kalau ada umur yang panjang,

Boleh kita berjumpa lagi.


KRITIKAN DRAMA DAN FILEM


Pada ketika ini, kecondongan anak-anak muda kepada drama-drama cinta yang banyak disajikan di kaca televisyen juga tidak dapat dinafikan hakikatnya. Drama-drama yang popular seperti “Sayangku Kapten Mukhriz”, “Suri Hati Mr.Pilot”, “7 Hari Mencintaiku” ,”Isteri Tuan Ihsan”dan sebagainya mencatatkan angka tontonan yang tinggi. Plot yang berkisarkan mengenai cinta antara lelaki dan perempuan yang sudah tentu diakhiri dengan pengakhiran cerita yang bahagia menyebabkan jiwa dan minda anak-anak muda terarah kepada cinta antara pasangan kekasih. Minda mereka mudah terkhayal untuk mendapatkan pasangan yang sempurna seperti dipaparkan menerusi drama-drama tersebut. Lebih buruk lagi apabila drama-drama tersebut bersiaran pada waktu Maghrib sehingga menyebabkan anak-anak muda melengah-lengahkan solat atau lupa menunaikan kewajipan dan tanggungjawab mereka kepada Allah s.w.t. Jika dinilai dari sudut pembangunan jiwa insan, sudah tentu drama-drama yang ditonjolkan itu tidak membangun jiwa mereka kerana meninggalkan impak yang buruk iaitu melalaikan hati mereka untuk mengingati Allah. 


Selain itu, terdapat banyak filem yang mendedahkan pelbagai budaya luar dan aksi-aksi ganas yang mampu menjahanamkan peribadi dan sahsiah remaja yang masih berumur setahun jagung. Sebagai contoh, filem Buli, ‘Gengster’, KL Menjerit, Bohsia dan pelbagai lagi telah membudayakan amalan samseng dalam kalangan remaja yang masih hijau. Penerbitan filem dan rancangan yang berunsurkan keganasan yang sememangnya bertentangan dengan norma-norma kehidupan manusia ini. Kesannya, remaja akan meniru dan mengikuti aksi-aksi yang ditontoni tanpa memikirkan kesan atas tindakan mereka. Mereka yang sentiasa didorongan oleh semangat inkuiri akan melakukan gengsterisme terhadap orang lain seperti memukul dan mengugut untuk melihat keberkesanan rancangan yang ditontoni oleh mereka.

Oleh itu, kita sebagai masyarakat dan pengguna hendaklah bijak dalam membuat keputusan agar tidak menyesal di kemudian hari kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.


DUNIA HIBURAN MASA KINI

Di era globalisasi ini, gejala hiburan berlebihan semakin berleluasa seiring dengan kepesatan perkembangan teknologi yang membolehkan kita mengakses kepada pelbagai bentuk hiburan. Perkembangan rangkaian teknologi tanpa wayar (wireless) misalnya mendedahkan orang ramai terutamanya anak-anak muda kepada pelbagai rangkaian laman sosial seperti facebook, twitter, instagram dan sebagainya. Selain itu, aplikasi yang popular seperti Youtube pula membolehkan capaian terus kepada pelbagai hiburan dari segenap pelusuk dunia yang boleh ditonton secara dalam talian (online). Dalam pada itu, hiburan di kaca televisyen, radio dan media cetak juga tidak ketinggalan dan tidak lekang daripada menjadi anti-nuke muda. Realitinya, anak-anak muda kini semakin terdedah dengan lambakan hiburan yang bersifat melalaikan dan memberi impak kepada jiwa dan akhlak mereka.

Menjengah siaran-siaran di kaca televisyen, begitu banyak rancangan-rancangan hiburan nyanyian atau tarian berbentuk realiti seperti “Akademi Fantasia”,”Mentor Milenia”,”SuperStar”,”Gegar Vaganza” dan sebagainya yang melibatkan kanak-kanak sehingga peringkat yang berumur  Rancangan-rancangan ini secara tidak langsung turut memaparkan percampuran bukan muhrim, pendedahan aurat melalui pakaian yang menjolok mata dan tarian-tarian yang mengghairahkan. 


Selain itu, radio juga menjadi medium penularan hiburan yang berlebihan. Radio yang memainkan lagu-lagu berunsur cinta dan jiwang mengakibatkan jiwa anak-anak muda mudah terusik dan menggalakkan mereka menghabiskan masa untuk berkhayal memikirkan gerangan yang bakal menjadi ratu hati mereka. Jiwa anak-anak muda yang dibadai dengan arus hiburan yang berlebihan ini menyebabkan jiwa mereka kosong dengan ilmu pengetahuan agama. Namun, jika dipersoalkan mengenai lagu-lagu terbaru dari dalam dan luar negara pantas sahaja mereka mengingati tajuk lagu berserta lirik-liriknya.

Oleh itu, kita sebagai masyarakat dan pengguna hendaklah bijak dalam membuat keputusan agar tidak menyesal di kemudian hari kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

PENGEMBARAAN DI BANDUNG, INDONESIA


Adakah anda pernah mengembara ke Bandung, Indonesia?

Pada tahun 2017, pertama kali saya menjejakan kaki di bumi Indonesia bersama rakan-rakan . Masih terngiang-ngiang di benak fikiran saya perjalanan mengembara di Bandung. Bukan sekadar mengembara biasa namun penuh dengan kenangan terindah. Kami bertolak ke KLIA pada pukul 12 tengah malam. Kami tidur di kaki lima KLIA untuk menunggu penerbangan yang dijangka pukul enam pagi. Keesokan harinya, tepat jam 12 tengah hari kami tiba di lapangan terbang Husein Sastranegara . Masih terasa angin yang sungguh nyaman dan sejuk menampar wajah kami.

Kami menuju ke rumah tumpangan dan mempersiapkan diri untuk keluar berjalan-jalan. Kami melawat dua buah sekolah di Bandung iaitu Pasentren Al-Ashr Al-Madani dan Sekolah Yayasan Moseim . Semua pelajar di sana sangat peramah. Kami membuat beberapa aktiviti di sana untuk mengeratkan lagi hubungan antara kami dengan pelajar-pelajar tersebut. Selain itu, kami juga saling berkongsi keindahan dan keunikan negara masing-masing. Terlalu banyak maklumat baru yang kami perolehi tentang Bandung.

Di sana juga, kami tidak melepaskan peluang untuk mencuba makanan mereka. Masih terasa sehingga kini keenakan nasi bakar dan ayam pepes serta digandingkan dengan teh o gratis. Kami juga sempat melawat tempat-tempat yang terkenal di Bandung. Kami berpeluang melawat Farm House Lembang yang berkonsepkan kota eropah kecil. Seterusnya, kami mengunjungi Paskal Food Market yang merupakan syurga makanan bagi penduduk di sana pada ketika waktu malam. Namun begitu, kami sangat berhati-hati ketika memilih gerai makanan kerana di sana makanan halal dan tidak halah bercampur. Antara makanan yang kami sempat cuba di tempat itu ialah jagung bakar. Selain Paskal Food Market, Pasar Baru juga salah satu tempat yang wajib dilawati ketika di Bandung. Hal ini kerana tempat tesebut merupakan tempat untuk membeli belah cenderahati untuk dibawa pulang kepada orang yang tersayang. Sehingga ke hari ini, setiap kali menonton drama Indonesia, sudah pasti fikiran saya mengimbau kembali suasana di pasar baru itu dan keadaan trafik di sana.

Sampai di sini sahaja yang mampu saya ceritakan pengalaman saya ketika mengembara di Bandung, Indonesia bersama rakan-rakan. Semoga ada rezeki untuk menjelajah di tempat lain pula.


Khamis, 23 Julai 2020

PENGALAMAN MEMBACA BUKU KREATIF

Indah sungguh ciptaan tuhan,

Mentari merah di waktu senja,

Assalamualaikum saya ucapkan,

Moga semua sihat sejahtera.

Ketika ini negara kita sedang menjalani perintah kawalan pergerakan pemulihan bagi memutuskan rantaian Covid-19 yang melanda seluruh dunia. Walaubagaimanapun, apakah yang anda lakukan sepanjang tempoh perintah kawalan? Adakah anda menghabiskan masa sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan sebelum ini dengan aktiviti yang berfaedah? Di sini saya ingin berkongsi beberapa buah komik islamik yang sudah selesai dibaca. Pasti kamu semua tertanya-tanya kenapa saya lebih cenderung memilih komik berbanding buku-buku yang lain. Saya lebih menyukai komik kerana di dalamnya mengandungi gambar-gambar kartun yang dapat menarik minat saya untuk membacanya. Bukan itu sahaja, kartun-kartun tersebut juga sedikit sebanyak menjelaskan gambaran yang ingin disampaikan oleh penulis selain menghilangkan rasa bosan dek melihat tulisan semata-mata. Walaupun ianya hanya sekadar komik, tetapi ia sangat memberi kesan kepada saya terutama dalam bab-bab keagamaan. Namun, saya yakin bahawa setiap orang mempunyai cara mereka yang tersendiri untuk memupuk sikap membaca dalam diri masing-masing.

Antara komik yang saya baca ialah komik 33 Pesan Nabi, Islam Sehari-Hari dan Hari-Hari Sayang Nabi.

1- komik 33 Pesan Nabi

Penulis: vbi_djenggotten

Terbitan: Humaira Bookstore Enterprise

           

Komik ini menceritakan tentang pesanan nabi kepada umatnya berpandukan kepada hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukahri dan Muslim yang disampaikannya dalam bahasa komik yang menarik, ditambah pula dengan contoh cerita yang sinonim dalam kehidupan masyarakat sekarang meliputi aspek sosial, politik mahupun budaya.

2- Islam Sehari-Hari

Penulis: vbi_djenggotten

Terbitan: Humaira Bookstore Enterprise

               

Komik ini mempersembahkan aklak-akhlak islam yang sepatutnya diamalkan oleh setiap individu dalam kehidupan seharian. Ianya disampaikan dengan sangat menarik, mudah dan santai. Di samping itu, komik ini juga diselitkan dengan lawak jenaka tetapi padat dengan teguran yang bersahaja. Penulis menegur budaya yang tidak elok tetapi sering diamalkan oleh masyarakat kita pada masa kini. Justeru itu, komik ini amat sesuai dihadamkan oleh semua peringkat umur.

3- Hari-Hari Sayang Nabi

Penulis: Nik Wafdi

Terbitan: Humaira Publication Sdn Bhd.

              

Komik ini memuatkan lebih 60 hadis pilihan yang mendidik hati dan mencuit iman dengan ilustrasi kartun yang menarik. Selain itu komik ini juga memuatkan pelbagai panduan berakhlak mulia seperti bercakap benar, menghormati hak orang lain dan pelbagai lagi.

Saya berharap agar apa yang saya kongsikan pada entri kali ini boleh menjadi pencetus kepada anda semua untuk terus membaca. Jadi, ayuh kita isi masa terluang kita dengan membaca buku kerana membaca mampu menambahkan ilmu pengetahuan dan maklumat baru kepada kita.

خَيرُ جَلِيسٍ فِي الزَّمَانِ كِتَابُ

Sebaik-baik teman pada setiap waktu ialah buku.


KESENIAN BATIK


Adakah anda pernah memakai kain batik atau baju batik?

Batik dikenali sebagai salah satu bidang kraftangan tradisional yang terkenal di malaysia. Sehingga kini, perusahaan pakaian batik malaysia banyak tertumpu di negeri-negeri di pantai timur, iaitu kelantan dan terengganu. Hasil pembuatan batik di malaysia amat dikenali di peringkat antarabangsa. Rekaanya yang bermutu tinggi dan coraknya yang unik menambat hati peminat pakaian tradisional. Di sini saya akan menceritakan jenis-jenis batik dan kegunaan batik di malaysia.

Jenis-jenis batik di Malaysia:


 

Batik Blok atau dikenali juga sebagai Batik Terap, Batik Cap atau Batik Pukul. Batik Blok dihasilkan menggunakan blok kayu atau blok besi atau tembaga. Blok yang diukir timbul dengan corak-corak menarik digunakan untuk menerap kain. Blok dicelup ke dalam pewarna sebelum diterap ke atas kain. Teknik blok ini adalah antara teknik yang terawal digunakan dalam pembuatan batik.


              

Batik Canting atau dikenali sebagai Batik Lukis atau Batik Tulis. Batik Canting ialah batik yang dilukis tangan menggunakan kaedah mencanting iaitu campuran lilin cair dimasukkan ke dalam alat canting kemudian dilakar di atas permukaan kain dasar yang diregang di atas pemidang. Proses mencanting ini dilakukan bagi membentuk motif dan reka corak batik yang telah dilukis. Batik Canting ini ialah batik yang paling popular sehingga ke hari ini kerana corak dan motifnya yang unik dan eksklusif.     


           

Batik Skrin juga dikenali sebagai Batik Stensil atau Batik Sutera Saring. Batik jenis ini menggunakan teknik cetak sutera saring dan tidak menggunakan lilin. Warnanya lebih tahan lama dan tidak luntur. Proses pembuatannya cepat dan harganya lebih murah.

Kegunaan batik di Malaysia:

1) Untuk wanita, kain batik selain digunakan sebagai kain sarung dan kain basahan di rumah, ia juga boleh disesuaikan dengan fesyan baju kurung atau kebaya.

2) Fesyan lelaki juga tidak terlepas dengan corak batik yang dijadikan sebagai kemeja.

3) Pakaian corak batik sering digunakan dalam majlis-majlis keramaian dan formal. Sebagai contoh, sektor awam mewajibkan pekerjanya memakai pakaian batik pada setiap hari khamis.

Ole itu, sebagai rakyat malaysia, kita seharusnya sentiasa berusaha memartabatkan batik malaysia dan berbangga dengan keunikan ini.


TOKOH AGAMAWAN YANG DIKAGUMI


Adakah anda perhatikan bahawa akhir-akhir telah ramai tokoh-tokoh ulama yang pergi meniggalkan kita?

Hari ini saya akan berkongsi tentang tokoh ulama’ atau tokoh agamawan yang paling saya kagumi. Siapa yang tidak mengenali insan yang bernama Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merupakan bekas Menteri Besar Kelantan. Di sini saya sertakan biodata ringkas tentang Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Nama: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat

Tempat lahir: Kampung Pulau Melaka, Kelantan.

Pengajian:

- Pondok Tuan Guru Hj. Abbas, Besut

- Universiti Deoband India

- Universiti Lahore Pakistan

- Universiti Al-Azhar

- Sarjana Muda Bahasa Arab

- Sarjana Perundangan Islam

 

Saya memilih Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai tokoh yang paling dikagumi kerana keilmuan beliau yang tinggi terutama dalam bab agama. Beliau mempunyai kemampuan berbahasa arab dengan baik. Justeru itu, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz mempunyai bacaan buku islam yang agak luas, terutama dalam bidang induk ilmu islam seperti tafsir al-quran, ilmu hadis dan ilmu feqah. Bukan itu sahaja, beliau juga mempunyai kemampuan untuk menghuraikan sesuatu perbahasan yang rumit dalam agama islam dengan laras yang mudah difahami. Beliau juga tidak lokek dengan ilmu yang dimilikinya. Buktinya, selepas pulang ke tanah air, beliau telah berkhidmat sebagai pendidik di beberapa buah sekolah.

Selain itu, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz sangat mencontohi kehidupan rasulullah. Hal ini dapat dilihat melalui aspek pemakaiannya seperti sentiasa memakai serban walau dipasangkan dengan apa jua pakaian. Di samping itu, beliau juga seorang yang sangat serius apabila melibatkan perkara ibadah terutama perkara yang melibatkan solat fardhu. Beliau turut memandang serius perkara yang berkait dengan masa dan penjagaannya. Tuan guru juga seorang yang sangat suka membaca. Baginya, membaca adalah prasyarat seseorang untuk mendalami dan memahami akan sesuatu perkara.


Oleh itu, tidak dinafikan bahawa Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz merupakan antara tokoh ilmuan islam yang hebat. Kesimpulannya, kita seharusnya mempunyai tokoh yang dikagumi untuk dijadikan contoh teladan dalam kehidupan kita selain menjadi pembakar semangat kepada kita tatkala kita jatuh.


PENGALAMAN KETIKA DI KAMPUNG



Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini amat menyedihkan disebabkan oleh penularan virus Covid-19. Untuk memutuskan rantaian Covid-19, negara kita telah melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP). Hal ini menyebabkan saya dan keluarga tidak dapat pulang ke kampung untuk beraya bersama-sama. Namun, selepas Perdana Menteri kita, YAB. Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang mana membenarkan kita untuk merentas negeri, semua ahli keluarga saya bersepakat untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri buat kali kedua bersempena dengan Raya Puasa Enam di kampung yang terletak di Kampung Kota, Kota Bharu, Kelantan, bersama nenek kami.

Kami tiba di kampung pada awal pagi kerana bercadang untuk bersarapan bersama. Kami mengadakan jamuan secara sederhana melibatkan ahli keluarga dan sanak-saudara terdekat sahaja. Hampir penuh meja makan kami dengan juadah yang menyelerakan antaranya ketupat, rendang, lemang, lontong, nasi arab, ayam pedas dan tidak ketinggalan juga biskut raya dan kuih muih kerana setiap orang masih dalam mood raya. Semua makanan yang terhidang disediakan dengan air tangan sendiri. Selepas menjamu selera, kami berbual-bual kosong antara satu sama lain. Saya tersenyum sendirian apabila melihat gelagat masing-masing. Pihak lelaki kebanyakkannya berbincang tentang pekerjaan yang tertangguh akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan. Tidak ketinggalan juga kaum ibu yang masing-masing berkongsi tentang resepi baru yang dicuba ketika berada di rumah. Selain itu, saya dan beberapa orang sepupu yang lain bercerita tentang pengalaman kuliah secara maya. Saya sungguh teruja melihat suasana yang sedemikian kerana dengan cara ini kita dapat mengeratkan lagi hubungan serta berkongsi masalah yang dihadapi dan yang paling saya kagumi ialah setiap orang mampu mengenepikan gajet masing-masing. Namun, kami tidak pernah lupa untuk mengikut segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang memerlukan kita mengamalkan penjarakan sosial.

Disebelah petang pula, kami bergotong royang membersihkan halaman rumah nenek. Selain itu, ayah dan adik beradik lelakinya yang lain membersihkan semak samun di tanah kosong milik nenek. Menurut ayah, mereka ingin berjasa pada tanah dengan menanam pokok-pokok seperti pokok kelapa, rambutan, manggis dan pisang. Hasil tanaman ini bukan sahaja dapat menjana pendapatan bahkan juga dapat mengelakkan tanah yang kosong terbiar begitu sahaja. Penjagaan tanaman ini akan diuruskan oleh Pak Su kami yang kebetulan masih lagi mencari pekerjaan. Akhirnya tanah yang dipenuhi dengan semak samun tadi kelihatan bersih dan luas selepas selesai bergotong royang yang hanya mengambil masa lebih kurang tiga jam setengah sahaja. Inilah yang dikatakan berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Matahari hampir tenggelam menyebabkan kami tidak dapat meneruskan aktiviti kami untuk bercucuk tanam. Oleh itu, kami membuat keputusan untuk menyambung aktiviti itu pada esok pagi.


Selepas Solat Isyak, setiap keluarga mengeluarkan mercun dan bunga api yang dibawa dari rumah masing-masing. Kami sangat terpegun melihat percikan bunga api yang menyinari langit malam. Pelbagai jenis corak dan warna percikan bunga api dapat dilihat di permukaan langit ditambah pula dengan bunyi dentuman yang tidak henti-henti. Selain daripada rumah kami, beberapa jiran nenek turut sama memasang mercun dan bermain bunga api dengan ahli keluarga mereka masing-masing. Keesokan harinya, seperti yang dirancangkan, kami mula bercucuk tanam pelbagai jenis pokok di tanah yang terbiar itu. Selepas Solat Asar, setiap keluarga mula bertolak pulang ke tempat kediaman masing-masing. Kami berasa amat sedih untuk berpisah. Namun, kami berharap supaya dapat berjumpa lagi ketika Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelang tiba. Itulah kenangan saya bersama ahli keluarga saya ketika di kampung.

PENGALAMAN YANG TIDAK DAPAT DILUPAKAN KETIKA DI KOLEJ


Pada entri kali ini saya akan menceritakan tentang pengalaman saya ketika berada di kolej. Jika hendak dihitung, pasti tidak terkira untuk diceritakan. Oleh itu, saya telah memilih untuk menceritakan pengalaman yang paling saya tidak dapat lupakan sepanjang saya berada di kolej. Peristiwa ini berlaku ketika tibanya bulan Ramadan pada semester kedua. Mungkin sesetengah orang menganggap pengalaman berpuasa berjauhan daripada ibu bapa dan keluarga merupakan perkara biasa. Tetapi sebaliknya bagi saya. Hal ini kerana sepanjang hidup saya sejak dari zaman kanak-kanak sehinggalah ke tingkatan enam, saya tidak pernah berenggang dari keluarga. Bukan itu sahaja, saya juga tidak pernah merasai tinggal di asrama atau di kolej.

Inilah kali pertama saya tinggal berjauhan dengan keluarga. Tatkala kaki saya melangkah ke dalam Kolej 12, Universiti Putra Malaysia, kehidupan saya berubah sepenuhnya. Manakan tidak, semua perkara yang hendak dilakukan bergantung kepada kemahuan diri saya sendiri. Jika dahulu, ibu yang akan menyediakan sarapan, ayah akan menghantar ke sekolah tetapi itu semua tidak akan berlaku lagi. Segala keputusan terletak di tangan kita sendiri. Pada semester kedua, saya terpaksa menyambut kedatangan bulan Ramadan di kolej. Seminggu sebelum tibanya bulan yang mulia itu, saya telah mula berfikir dan merenung sendirian mengenangkan nasib yang akan saya lalui sepanjang bulan Ramadan itu seperti siapa yang akan kejutkan untuk sahur, macam mana hendak istiqamah dalam mengerjakan ibadah terawih, apa makanan yang akan disajikan ketika berbuka puasa dan bersahur. Jika berada di rumah, sudah pasti ibu dan ayah yang akan memutuskan perkara ini semua.

Sepanjang bulan Ramadan, saya akan bangun lebih awal dari kebiasaan. Saya akan mandi terlebih dahulu kemudian menyediakan makanan untuk bersahur. Saya masih ingat lagi, hari pertama saya bersahur hanya berbekalkan tiga keping roti dan segelas Air Milo. Alangkah sedihnya ketika itu tetapi itulah yang dikatakan pengalaman. Tetapi kadang kala, saya akan mengubah menu sahur dari roti kepada bubur nasi bagi mengelakkan rasa bosan dan jemu untuk bersahur sedangkan bersahur sangatlah dituntut dalam Islam. Kemudian, ketika berbuka puasa, saya tidak sendirian. Saya dan kawan-kawan berbuka puasa secara berjemaah. Cara ini bukan sahaja dapat  menghilangkan rasa rindu kepada keluarga bahkan dapat mengeratkan hubungan silaturrahim. Selain itu, jika ada waktu terluang atau ketika hujung minggu, kami akan mengunjungi bazar ramadan yang berdekatan dengan kolej kami untuk membeli kuih muih atau menukar menu berbuka. Saya juga sangat bersyukur kerana dikurniakan kawan-kawan yang baik di sekeliling saya. Setiap hari kami akan ke surau kolej bersama-sama untuk menunaikan Solat Isyak dan Tarawih berjemaah. Begitulah rutin harian saya sehingga habis bulan Ramadan.

Kenangan sebegini tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila. Oleh itu, hargailah masa kita ketika bersama orang-orang yang tersayang supaya tidak menyesal di kemudian hari.


PAKAIAN TRADISIONAL


Malaysia merupakan salah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti kaum melayu, cina dan india. Setiap kaum tersebut mempunyai warisan kesenian yang tersendiri yang wujud sejak dari zaman dahulu lagi. Salah satu warisan kesenian yang kekal sehingga kini ialah pakaian tradisional. Tetapi, kali ini saya ingin memfokuskan kepada pakaian tradisional kaum melayu.


Baju Melayu merupakan pakaian tradisional kaum lelaki bagi masyarakat melayu. Baju ini kebiasaanya digunakan ketika majlis-majlis perkahwinan, kenduri-kendara, dan ketika menunaikan solat jumaat.  Ketika majlis rasmi dan hari raya, seseorang lelaki itu akan kelihatan segak dan berseri apabila mengenakan Baju Melayu ini dengan samping atau songket. Pada masa yang sama, ada juga yang memakainya bersama kain pelikat atau kain tenun sutera. Kita dapat melihat pemakaian seperti itu terutama ketika menunaikan solat jumaat di masjid.

Seterusnya, salah satu daripada pakaian tradisional masyarakat melayu bagi kaum wanita ialah baju kurung. Baju kurung ialah baju longgar dan labuh yang mana kadang-kala hingga ke lutut. Baju ini dipadankan dengan kain panjang berlipat tepi. Namun, akhir-akhir ini, baju kurung telah terbahagi kepada pelbagai jenis dek kerana kekreatifan masyarakat Malaysia. Antara jenis baju kurung pada masa kini ialah Baju Kurung Pesak, Baju Kurung Peplum, Baju Kurung Teluk Belanga, Baju Kurung Cekak Musang dan Baju Kurung Moden. Masing-masing mempunyai ciri-ciri unik yang tersendiri. Baju kurung ini kegunaannya hampir sama dengan baju melayu.

Namun, di era globalisasi ini, budaya pemakaian tradisional ini semakin dipinggirkan. Malah, terdapat juga dalam kalangan masyarakat kini yang lebih cenderung untuk meniru gaya pemakaian masyarakat barat. Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku kerana pakaian merupakan salah satu simbol budaya yang menandakan perkembangan dan pengkhususan budaya tertentu. Oleh itu, marilah sama-sama kita berbangga dengan pakaian tradisional kita sendiri kerana itu dapat melambangkan identiti sesebuah masyarakat itu sendiri. Tetapi harus diingat, walau apa pun yang kita pakai, pastikan ianya bertepatan serta berlandaskan kepada syariat yang telah ditetapkan oleh agama.


MAKANAN TRADISIONAL DI NEGERI KELANTAN


Adakah anda pernah melawat negeri Kelantan serta mencuba makanan tradisional di negeri serambi mekah itu?

Di sini saya akan kongsikan beberapa makanan tradisional di negeri Kelantan yang merupakan negeri kelahiran saya. Negeri Kelantan yang terkenal dengan jolokan nama Cik Siti Wan Kembang ini terletak di Timur Laut Semenanjung Malaysia, berhadapan dengan Laut China Selatan serta bersempadan dengan Thailand. Ia memang cukup terkenal dengan aneka makanannya yang enak serta pelbagai. Dari lauk-pauk hinggalah ke kuih-muih. Semuanya memang sedap dan unik. Justeru tidak hairanlah apabila pergi melawat ke negeri ini, orang pesan jangan diet kerana rugi jika tidak menikmati makanan tradisionalnya.

Antara makanan tradisional di negeri ini ialah:


Nasi Kerabu. Satu hidangan nasi yang unik kerana warna nasinya yang berwarna biru. Nasi Kerabu ini dimakan dengan ayam atau daging bakar, telur masin, ulam, keropok, solok lada dan jeruk.


Nasi Tumpang. Ia merupakan nasi dengan lapisan yang berbeza dan dibungkuskan dalam bentuk kon dengan menggunakan daun pisang. Makanan ini dahulunya merupakan makanan asas untuk petani untuk dibawa ke tempat kerja. Lauk yang ada di dalam nasi tumpang ini ialah serunding ikan, udang atau ikan masak kari, sambal cili dan timun. Setiap lauk diletak secara selang seli dengan nai putih.


Nasi Dagang. Nasi dagang juga popular di negeri Kelantan dan jika dibandingkan dengan nasi dagang di Terengganu. Warna nasi dagang di Kelantan agak hitam keperangan kerana menggunakan beras merah manakala di Terengganu nasi dagangnya berwarna putih.



Tahi Itik. Kuih ini sangat popular kerana namanya yang agak ngeri. Kuih ini merupakan sejenis telur putih yang dimasak dengan mengacau secara berterusan dan akhirnya akan kelihatan bertempek-tempek seperti tahi itik.


Buah Tanjung. Sejenis kuih lemak manis yang berwarna kuning dan menjadi hidangan manisan wajib ketika majis-majlis besar seperti majlis pertunangan atau majlis perkahwinan. Mengikut orang-orang tua di sini, kuih Buah Tanjung ini dahulunya terkenal sebagai hidangan manisan santapan orang kerabat di negeri kelantan dan orang berada.


Kerabu Sarea. Sarea merupakan panggilan kepada rumpai-rumpai laut di Kelantan. Rumpai-rumpai laut ini dijadikan kerabu bersama dengan sambal tumis dan isi ikan. Walaupun ianya merupakan sejenis kerabu, namun penyediannya agak rumit kerana pelbagai jenis bahan.

Jika hendak disenaraikan makanan tradisional di negeri kelantan pasti tidak mampu. Jadi, jika anda berkunjung ke negeri ini, jangan lepaskan peluang untuk mencuba makanan-makanan ini. Kesimpulannya, makanan tradisi seperti ini hendaklah diteruskan supaya generasi akan datang dapat mengenali serta menikmati hidangan dari zaman nenek moyang yang kian hilang bak kata pepatah tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.


ISU SEMASA


Apakah isu yang hangat berlaku di Malaysia ketika ini?

Pandemik Covid-19 ialah wabak penyakit koranavirus 2019 yang melanda dunia pada masa ini berpunca daripada koronavirus sindrom pernafasan akut teruk 2(SARS-COV-2). Dalam pada itu, Malaysia juga merupakan salah sebuah negara yang tersebar dengan virus ini. Isu ini semakin hangat di Malaysia sehingga setiap dada akhbar tempatan tidak lekang dengan berita ini selain di kaca televisyen. Covid-19 ini ternyata sangat berbahaya kerana sehingga 24/7/2020 Malaysia telah mencatatkan kes kematian sebanyak 123 kes. Hal ini kerana virus Covid-19 tersebar dengan begitu cepat dan berjangkit dari individu kepada individu yang lain melalui titisan pernafasan atau sentuhan seperti batuk atau bersin oleh individu bergejala, sentuhan dengan individu bergejala dan menyentuh permukaan yang telah tercemar dengan virus. Namun kita dapat mecegah diri kita daripada dijangkiti dengan cara-cara seperti yang berikut:-

·        Jarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter daripada individu yang bergejala seperti batuk, demam dan bersin.

·        Tingkatkan kebersihan diri dan kawasan rumah. Sentiasa mengutamakan kebersihan diri seperti kerap mandi dan kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer). Selain itu, disinfeksi kawasan rumah juga sangat digalakkan untuk membasmi virus.

·        Elakkan menyentuh mata, hidung dan mulut dengan kerap

·        Memakai topeng muka. Sekiranya anda tidak sihat seperti batuk atau selsema, pakailah topeng muka dan segeralah mendapatkan rawatan di klinik atau hospital. Jangan menggunakan topeng muka yang sama berulang-kali, sebaliknya keraplah menukar topeng muka dari masa ke semasa.

·        Kekalkan berada di dalam rumah atau “stay at home”. Dengan kekal berada di rumah dapat menghindarkan diri kita daripada dijangkiti virus covid-19. Inilah masa terbaik untuk meuangkan masa yang berkualiti bersama keluarga.

Oleh itu, marilah sama-sama kita mengamalkan amalan-amalan pencegahan ini supaya kita dapat memutuskan rantaian penularan wabak covid-19 ini dan tiada kluster atau gelombang baru yang lebih serius boleh melanda negara kita. Yakinlah bahawa sekiranya kita terus mendisiplinkan diri kita dengan norma kehidupan baharu, insha-Allah wabak ini akan hilang dari negara kita.

الوقاية خير من العلاج

                                                           mencegah lebih baik daripada merawat

JAUHI PERASAAN AMARAH

 

Adakah anda pernah diselubungi rasa marah?

Marah merupakan satu perasaan yang wujud secara semulajadi dalam diri setiap manusia. Perasaan marah akan muncul secara spontan tatkala kita disakiti, ditipu, dipanggil dengan gelaran yang mengaibkan atau ketika kita menghadapi masalah. Walaupun begitu, perasaan tersebut tidak seharusnya dilayan kerana marah merupakan bisikan dari syaitan dan iblis yang durjana. Ketika kita sedang marah, syaitan-syaitan akan berlumba-lumba untuk memasuki salur darah individu tersebut lalu menyebabkan kita hilang pertimbangan akal fikiran, manakala wajah mulai merah dengan degupan jantung semakin kencang. Islam sebagai agama yang sangat indah menegah umatnya daripada melayani sifat marah atau baran keterlaluan.

Amarah bukan sahaja memberi impak negatif kepada individu itu sendiri, bahkan orang di sekelilingnya juga turut terkena tempiasnya. Jika dapat kita perhatikan, mutakhir ini banyak kes yang berlaku berpunca daripada sifat amarah ini seperti kes pergaduhan, penceraian, penderaan dan yang paling teruk boleh membawa kepada pembunuhan. Ini jelas menunjukkan bahana sifat amarah itu. Oleh sebab itu, kita sepatutnya menundukkan perasaan marah itu dengan sifat sabar seperti mana yang diajar dalam agama islam. Sabar mampu meleraikan pergaduhan dan melembutkan hati yang tengah panas. Di sini terdapat beberapa pesanan yang baginda SAW titipkan kepada kita sewaktu kita sedang marah, antaranya ialah:

1- Duduk jika sedang berdiri dan berbaring jika sedang duduk

2- Mengambil wudhu

3- Mengelakkan diri daripada membuat sebarang keputusan besar

4- Berdiam diri sewaktu marah adalah lebih baik kerana dalam keadaan marah, perkataan-perkataan yang diungkapkan berkemungkinan akan mengguris perasaan orang lain dan mungkin memberi ancaman kepada diri sendiri.


Nabi SAW bersabda:

لَيسَ الشَّدِيدُ بِالصَّرَعَةِ إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَملِكُ نَفسَهُ عِندَ الغَضَبِ

Maksudnya: seseorang yang kuat itu bukanlah yang handal bergusti, sesungguhnya seseorang yang kuat itu ialah orang yang mampu mengawal dirinya sewaktu sedang marah.

Kesimpulannya, jauhilah sifat marah serta siramilah ia dengan kesabaran.

PENGALAMAN MEMASUKI KULIAH BBK3410


Assalamualaikum w.b.t. Insha-Allah pada entri kali ini saya akan menceritakan serba sedikit tentang pengalaman saya memasuki kuliah penglahiran bakat kreatif (BBK3410). Penglahiran bakat kreatif merupakan salah satu kursus wajib yang perlu diambil oleh semua pelajar Universiti Putra Malaysia. Subjek ini dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu kumpulan pertama dipimpin oleh Dr. Halis Azhan Bin Mohd Hanafiah, kumpulan kedua dipimpin oleh Prof. Madya Dr. Kamariah Kamarudin dan kumpulan ketiga dipimpin oleh Dr. Lim Swee Tin. Dengan izin allah, saya telah terpilih untuk menjadi anak didik kepada Dr. Kamariah. Ini merupakan kali pertama saya menghadiri kuliah yang berasaskan kepada kesusasteraan melayu setelah hampir tiga tahun meninggalkan sastera melayu yang mana kali terakhirnya ketika saya berada di tingkatan lima.

Pada awal kuliah, Dr. Kamariah menerangkan tentang rangka kursus yang akan dipelajari oleh para pelajarnya sepanjang semester ini. Terdapat pelbagai genre yang saya dan rakan-rakan akan pelajari sepanjang kuliah antaranya, cerpen, novel, puisi dan drama. Perkara ini sekali gus mengimbau kembali kenangan saya sewaktu belajar komsas di sekolah menengah. Pengalaman berlakon, medeklamasikan sajak dan berbagai-bagai lagi bermain di fikiran saya ketika itu. Kadang-kadang perkara itu membuat saya tergelak kecil. Seterusnya Dr. Kamariah menyambung lagi penerangan beliau dengan memberitahu tugasan-tugasan yang perlu disiapkan oleh setiap pelajar. Saya begitu terkejut apabila Dr. meminta kami menyiapkan lima buah sajak dan dua buah cerpen. Hal ini kerana saya tidak pernah lagi mencipta sebuah sajak apatah lagi lima buah. Saya hanya mampu mendeklamasikannya sahaja dengan tunjuk ajar daripada guru-guru. Namun, saya berasa sedikit lega apabila beliau memberitahu bahawa setiap orang mempunyai cara kekreatifan mereka tersendiri. Selain itu, semangat saya juga semakin bertambah tatkala beliau berkongsi pengalaman beliau dalam bidang sastera ini sejak di bangku sekolah lagi.

Setelah hampir dua jam menerangkan tentang rangka kursus, kini beralih pula kepada sesi taaruf atau sesi suai kenal. Dr. Kamariah meminta setiap daripada kami memperkenalkan diri masing-masing. Dari situ, saya dapat mengenali beberapa orang rakan-rakan yang terdiri daripada kos yang berlainan. Masa begitu pantas berlalu. Tanpa saya sedari, hampir tiga jam saya dan rakan-rakan menghadiri kuliah ini. Pelbagai manfaat yang kami perolehi serta kata-kata motivasi yang meyuburkan semangat kami telah disampaikan oleh Dr. Kamariah. Bukan itu sahaja, banyak maklumat baru yang saya perolehi daripada kuliah ini.

Oleh itu, sampai di sini sahaja coretan yang dapat saya kongsikan bersama dalam entri kali ini tentang pengalaman memasuki kuliah BBK3410 buat pertama kali. Saya akhiri dengan serangkap pantun:

Berjuta dalih budi dibaja,

Terima kasih sudi membaca.