Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini amat menyedihkan disebabkan oleh
penularan virus Covid-19. Untuk memutuskan rantaian Covid-19, negara kita telah
melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP). Hal ini menyebabkan saya dan
keluarga tidak dapat pulang ke kampung untuk beraya bersama-sama. Namun,
selepas Perdana Menteri kita, YAB. Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan
pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang mana membenarkan kita
untuk merentas negeri, semua ahli keluarga saya bersepakat untuk menyambut Hari
Raya Aidilfitri buat kali kedua bersempena dengan Raya Puasa Enam di kampung
yang terletak di Kampung Kota, Kota Bharu, Kelantan, bersama nenek kami.
Kami tiba di kampung pada awal pagi kerana bercadang untuk bersarapan
bersama. Kami mengadakan jamuan secara sederhana melibatkan ahli keluarga dan
sanak-saudara terdekat sahaja. Hampir penuh meja makan kami dengan juadah yang
menyelerakan antaranya ketupat, rendang, lemang, lontong, nasi arab, ayam pedas
dan tidak ketinggalan juga biskut raya dan kuih muih kerana setiap orang masih
dalam mood raya. Semua makanan yang terhidang disediakan dengan air tangan
sendiri. Selepas menjamu selera, kami berbual-bual kosong antara satu sama
lain. Saya tersenyum sendirian apabila melihat gelagat masing-masing. Pihak
lelaki kebanyakkannya berbincang tentang pekerjaan yang tertangguh akibat pelaksanaan
perintah kawalan pergerakan. Tidak ketinggalan juga kaum ibu yang masing-masing
berkongsi tentang resepi baru yang dicuba ketika berada di rumah. Selain itu,
saya dan beberapa orang sepupu yang lain bercerita tentang pengalaman kuliah
secara maya. Saya sungguh teruja melihat suasana yang sedemikian kerana dengan
cara ini kita dapat mengeratkan lagi hubungan serta berkongsi masalah yang
dihadapi dan yang paling saya kagumi ialah setiap orang mampu mengenepikan
gajet masing-masing. Namun, kami tidak pernah lupa untuk mengikut segala
Prosedur Operasi Standard (SOP) yang memerlukan kita mengamalkan penjarakan
sosial.
Disebelah petang pula, kami bergotong royang membersihkan halaman rumah
nenek. Selain itu, ayah dan adik beradik lelakinya yang lain membersihkan semak
samun di tanah kosong milik nenek. Menurut ayah, mereka ingin berjasa pada
tanah dengan menanam pokok-pokok seperti pokok kelapa, rambutan, manggis dan
pisang. Hasil tanaman ini bukan sahaja dapat menjana pendapatan bahkan juga
dapat mengelakkan tanah yang kosong terbiar begitu sahaja. Penjagaan tanaman
ini akan diuruskan oleh Pak Su kami yang kebetulan masih lagi mencari
pekerjaan. Akhirnya tanah yang dipenuhi dengan semak samun tadi kelihatan
bersih dan luas selepas selesai bergotong royang yang hanya mengambil masa
lebih kurang tiga jam setengah sahaja. Inilah yang dikatakan berat sama
dipikul, ringan sama dijinjing. Matahari hampir tenggelam menyebabkan kami
tidak dapat meneruskan aktiviti kami untuk bercucuk tanam. Oleh itu, kami
membuat keputusan untuk menyambung aktiviti itu pada esok pagi.
Selepas Solat Isyak, setiap keluarga mengeluarkan mercun dan bunga api yang dibawa dari rumah masing-masing. Kami sangat terpegun melihat percikan bunga api yang menyinari langit malam. Pelbagai jenis corak dan warna percikan bunga api dapat dilihat di permukaan langit ditambah pula dengan bunyi dentuman yang tidak henti-henti. Selain daripada rumah kami, beberapa jiran nenek turut sama memasang mercun dan bermain bunga api dengan ahli keluarga mereka masing-masing. Keesokan harinya, seperti yang dirancangkan, kami mula bercucuk tanam pelbagai jenis pokok di tanah yang terbiar itu. Selepas Solat Asar, setiap keluarga mula bertolak pulang ke tempat kediaman masing-masing. Kami berasa amat sedih untuk berpisah. Namun, kami berharap supaya dapat berjumpa lagi ketika Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelang tiba. Itulah kenangan saya bersama ahli keluarga saya ketika di kampung.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan