Khamis, 23 Julai 2020

PENGALAMAN MEMASUKI KULIAH BBK3410


Assalamualaikum w.b.t. Insha-Allah pada entri kali ini saya akan menceritakan serba sedikit tentang pengalaman saya memasuki kuliah penglahiran bakat kreatif (BBK3410). Penglahiran bakat kreatif merupakan salah satu kursus wajib yang perlu diambil oleh semua pelajar Universiti Putra Malaysia. Subjek ini dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu kumpulan pertama dipimpin oleh Dr. Halis Azhan Bin Mohd Hanafiah, kumpulan kedua dipimpin oleh Prof. Madya Dr. Kamariah Kamarudin dan kumpulan ketiga dipimpin oleh Dr. Lim Swee Tin. Dengan izin allah, saya telah terpilih untuk menjadi anak didik kepada Dr. Kamariah. Ini merupakan kali pertama saya menghadiri kuliah yang berasaskan kepada kesusasteraan melayu setelah hampir tiga tahun meninggalkan sastera melayu yang mana kali terakhirnya ketika saya berada di tingkatan lima.

Pada awal kuliah, Dr. Kamariah menerangkan tentang rangka kursus yang akan dipelajari oleh para pelajarnya sepanjang semester ini. Terdapat pelbagai genre yang saya dan rakan-rakan akan pelajari sepanjang kuliah antaranya, cerpen, novel, puisi dan drama. Perkara ini sekali gus mengimbau kembali kenangan saya sewaktu belajar komsas di sekolah menengah. Pengalaman berlakon, medeklamasikan sajak dan berbagai-bagai lagi bermain di fikiran saya ketika itu. Kadang-kadang perkara itu membuat saya tergelak kecil. Seterusnya Dr. Kamariah menyambung lagi penerangan beliau dengan memberitahu tugasan-tugasan yang perlu disiapkan oleh setiap pelajar. Saya begitu terkejut apabila Dr. meminta kami menyiapkan lima buah sajak dan dua buah cerpen. Hal ini kerana saya tidak pernah lagi mencipta sebuah sajak apatah lagi lima buah. Saya hanya mampu mendeklamasikannya sahaja dengan tunjuk ajar daripada guru-guru. Namun, saya berasa sedikit lega apabila beliau memberitahu bahawa setiap orang mempunyai cara kekreatifan mereka tersendiri. Selain itu, semangat saya juga semakin bertambah tatkala beliau berkongsi pengalaman beliau dalam bidang sastera ini sejak di bangku sekolah lagi.

Setelah hampir dua jam menerangkan tentang rangka kursus, kini beralih pula kepada sesi taaruf atau sesi suai kenal. Dr. Kamariah meminta setiap daripada kami memperkenalkan diri masing-masing. Dari situ, saya dapat mengenali beberapa orang rakan-rakan yang terdiri daripada kos yang berlainan. Masa begitu pantas berlalu. Tanpa saya sedari, hampir tiga jam saya dan rakan-rakan menghadiri kuliah ini. Pelbagai manfaat yang kami perolehi serta kata-kata motivasi yang meyuburkan semangat kami telah disampaikan oleh Dr. Kamariah. Bukan itu sahaja, banyak maklumat baru yang saya perolehi daripada kuliah ini.

Oleh itu, sampai di sini sahaja coretan yang dapat saya kongsikan bersama dalam entri kali ini tentang pengalaman memasuki kuliah BBK3410 buat pertama kali. Saya akhiri dengan serangkap pantun:

Berjuta dalih budi dibaja,

Terima kasih sudi membaca.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan