Khamis, 23 Julai 2020

MAKANAN TRADISIONAL DI NEGERI KELANTAN


Adakah anda pernah melawat negeri Kelantan serta mencuba makanan tradisional di negeri serambi mekah itu?

Di sini saya akan kongsikan beberapa makanan tradisional di negeri Kelantan yang merupakan negeri kelahiran saya. Negeri Kelantan yang terkenal dengan jolokan nama Cik Siti Wan Kembang ini terletak di Timur Laut Semenanjung Malaysia, berhadapan dengan Laut China Selatan serta bersempadan dengan Thailand. Ia memang cukup terkenal dengan aneka makanannya yang enak serta pelbagai. Dari lauk-pauk hinggalah ke kuih-muih. Semuanya memang sedap dan unik. Justeru tidak hairanlah apabila pergi melawat ke negeri ini, orang pesan jangan diet kerana rugi jika tidak menikmati makanan tradisionalnya.

Antara makanan tradisional di negeri ini ialah:


Nasi Kerabu. Satu hidangan nasi yang unik kerana warna nasinya yang berwarna biru. Nasi Kerabu ini dimakan dengan ayam atau daging bakar, telur masin, ulam, keropok, solok lada dan jeruk.


Nasi Tumpang. Ia merupakan nasi dengan lapisan yang berbeza dan dibungkuskan dalam bentuk kon dengan menggunakan daun pisang. Makanan ini dahulunya merupakan makanan asas untuk petani untuk dibawa ke tempat kerja. Lauk yang ada di dalam nasi tumpang ini ialah serunding ikan, udang atau ikan masak kari, sambal cili dan timun. Setiap lauk diletak secara selang seli dengan nai putih.


Nasi Dagang. Nasi dagang juga popular di negeri Kelantan dan jika dibandingkan dengan nasi dagang di Terengganu. Warna nasi dagang di Kelantan agak hitam keperangan kerana menggunakan beras merah manakala di Terengganu nasi dagangnya berwarna putih.



Tahi Itik. Kuih ini sangat popular kerana namanya yang agak ngeri. Kuih ini merupakan sejenis telur putih yang dimasak dengan mengacau secara berterusan dan akhirnya akan kelihatan bertempek-tempek seperti tahi itik.


Buah Tanjung. Sejenis kuih lemak manis yang berwarna kuning dan menjadi hidangan manisan wajib ketika majis-majlis besar seperti majlis pertunangan atau majlis perkahwinan. Mengikut orang-orang tua di sini, kuih Buah Tanjung ini dahulunya terkenal sebagai hidangan manisan santapan orang kerabat di negeri kelantan dan orang berada.


Kerabu Sarea. Sarea merupakan panggilan kepada rumpai-rumpai laut di Kelantan. Rumpai-rumpai laut ini dijadikan kerabu bersama dengan sambal tumis dan isi ikan. Walaupun ianya merupakan sejenis kerabu, namun penyediannya agak rumit kerana pelbagai jenis bahan.

Jika hendak disenaraikan makanan tradisional di negeri kelantan pasti tidak mampu. Jadi, jika anda berkunjung ke negeri ini, jangan lepaskan peluang untuk mencuba makanan-makanan ini. Kesimpulannya, makanan tradisi seperti ini hendaklah diteruskan supaya generasi akan datang dapat mengenali serta menikmati hidangan dari zaman nenek moyang yang kian hilang bak kata pepatah tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan