Khamis, 23 Julai 2020

PENGALAMAN MEMBACA BUKU KREATIF

Indah sungguh ciptaan tuhan,

Mentari merah di waktu senja,

Assalamualaikum saya ucapkan,

Moga semua sihat sejahtera.

Ketika ini negara kita sedang menjalani perintah kawalan pergerakan pemulihan bagi memutuskan rantaian Covid-19 yang melanda seluruh dunia. Walaubagaimanapun, apakah yang anda lakukan sepanjang tempoh perintah kawalan? Adakah anda menghabiskan masa sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan sebelum ini dengan aktiviti yang berfaedah? Di sini saya ingin berkongsi beberapa buah komik islamik yang sudah selesai dibaca. Pasti kamu semua tertanya-tanya kenapa saya lebih cenderung memilih komik berbanding buku-buku yang lain. Saya lebih menyukai komik kerana di dalamnya mengandungi gambar-gambar kartun yang dapat menarik minat saya untuk membacanya. Bukan itu sahaja, kartun-kartun tersebut juga sedikit sebanyak menjelaskan gambaran yang ingin disampaikan oleh penulis selain menghilangkan rasa bosan dek melihat tulisan semata-mata. Walaupun ianya hanya sekadar komik, tetapi ia sangat memberi kesan kepada saya terutama dalam bab-bab keagamaan. Namun, saya yakin bahawa setiap orang mempunyai cara mereka yang tersendiri untuk memupuk sikap membaca dalam diri masing-masing.

Antara komik yang saya baca ialah komik 33 Pesan Nabi, Islam Sehari-Hari dan Hari-Hari Sayang Nabi.

1- komik 33 Pesan Nabi

Penulis: vbi_djenggotten

Terbitan: Humaira Bookstore Enterprise

           

Komik ini menceritakan tentang pesanan nabi kepada umatnya berpandukan kepada hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukahri dan Muslim yang disampaikannya dalam bahasa komik yang menarik, ditambah pula dengan contoh cerita yang sinonim dalam kehidupan masyarakat sekarang meliputi aspek sosial, politik mahupun budaya.

2- Islam Sehari-Hari

Penulis: vbi_djenggotten

Terbitan: Humaira Bookstore Enterprise

               

Komik ini mempersembahkan aklak-akhlak islam yang sepatutnya diamalkan oleh setiap individu dalam kehidupan seharian. Ianya disampaikan dengan sangat menarik, mudah dan santai. Di samping itu, komik ini juga diselitkan dengan lawak jenaka tetapi padat dengan teguran yang bersahaja. Penulis menegur budaya yang tidak elok tetapi sering diamalkan oleh masyarakat kita pada masa kini. Justeru itu, komik ini amat sesuai dihadamkan oleh semua peringkat umur.

3- Hari-Hari Sayang Nabi

Penulis: Nik Wafdi

Terbitan: Humaira Publication Sdn Bhd.

              

Komik ini memuatkan lebih 60 hadis pilihan yang mendidik hati dan mencuit iman dengan ilustrasi kartun yang menarik. Selain itu komik ini juga memuatkan pelbagai panduan berakhlak mulia seperti bercakap benar, menghormati hak orang lain dan pelbagai lagi.

Saya berharap agar apa yang saya kongsikan pada entri kali ini boleh menjadi pencetus kepada anda semua untuk terus membaca. Jadi, ayuh kita isi masa terluang kita dengan membaca buku kerana membaca mampu menambahkan ilmu pengetahuan dan maklumat baru kepada kita.

خَيرُ جَلِيسٍ فِي الزَّمَانِ كِتَابُ

Sebaik-baik teman pada setiap waktu ialah buku.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan