Malaysia merupakan salah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum
seperti kaum melayu, cina dan india. Setiap kaum tersebut mempunyai warisan
kesenian yang tersendiri yang wujud sejak dari zaman dahulu lagi. Salah satu
warisan kesenian yang kekal sehingga kini ialah pakaian tradisional. Tetapi, kali
ini saya ingin memfokuskan kepada pakaian tradisional kaum melayu.
Baju Melayu merupakan pakaian tradisional kaum lelaki bagi masyarakat
melayu. Baju ini kebiasaanya digunakan ketika majlis-majlis perkahwinan,
kenduri-kendara, dan ketika menunaikan solat jumaat. Ketika majlis rasmi dan hari raya, seseorang
lelaki itu akan kelihatan segak dan berseri apabila mengenakan Baju Melayu ini
dengan samping atau songket. Pada masa yang sama, ada juga yang memakainya
bersama kain pelikat atau kain tenun sutera. Kita dapat melihat pemakaian
seperti itu terutama ketika menunaikan solat jumaat di masjid.
Seterusnya, salah satu daripada pakaian tradisional masyarakat melayu bagi
kaum wanita ialah baju kurung. Baju kurung ialah baju longgar dan labuh yang
mana kadang-kala hingga ke lutut. Baju ini dipadankan dengan kain panjang
berlipat tepi. Namun, akhir-akhir ini, baju kurung telah terbahagi kepada
pelbagai jenis dek kerana kekreatifan masyarakat Malaysia. Antara jenis baju
kurung pada masa kini ialah Baju Kurung Pesak, Baju Kurung Peplum, Baju Kurung
Teluk Belanga, Baju Kurung Cekak Musang dan Baju Kurung Moden. Masing-masing
mempunyai ciri-ciri unik yang tersendiri. Baju kurung ini kegunaannya hampir
sama dengan baju melayu.
Namun, di era globalisasi ini, budaya pemakaian tradisional ini semakin
dipinggirkan. Malah, terdapat juga dalam kalangan masyarakat kini yang lebih
cenderung untuk meniru gaya pemakaian masyarakat barat. Perkara sebegini tidak
seharusnya berlaku kerana pakaian merupakan salah satu simbol budaya yang
menandakan perkembangan dan pengkhususan budaya tertentu. Oleh itu, marilah
sama-sama kita berbangga dengan pakaian tradisional kita sendiri kerana itu
dapat melambangkan identiti sesebuah masyarakat itu sendiri. Tetapi harus
diingat, walau apa pun yang kita pakai, pastikan ianya bertepatan serta
berlandaskan kepada syariat yang telah ditetapkan oleh agama.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan