Sabtu, 25 Julai 2020

KURSUS BBK3410

Dalm entri sebelum ini, saya ada berkongsi tentang pengalaman memasuki kuliah Penglahiran Bakat Kreatif, kali ini saya mengemukakan perasaan saya sepanjang menghadiri kuliah tersebut. Saya sangat minat ketika Dr. Kamariah menceritakan pengalaman beliau dalam bidang sastera ini. Selain itu, beliau juga menceritakan pengalaman beliau yang pernah bersama sasterawan-sasterawan negara dan juga cara bagaimana beliau memperolehi idea.  Bukan itu sahaja, saya juga dapat mengetahui serba sedikit mengenai Sea Write Awards dan mengenali dengan lebih mendalam tentang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Selain daripada ilmu, menerusi kuliah ini, saya dapat memperbetulkan sikap saya selama ini terutama dalam bab masa. Saya dapat melatih diri untuk lebih berdisiplin dan menepati waktu kerana kelas bersama Dr. Kamariah pada jam 9 pagi. Beliau sangat menitikberatkan tentang masa dan paling pantang pelajar yang datang lewat.

Banyak lagi yang ingin saya kongsikan tetapi masa begitu mencemburui saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr. Kamariah kerana mendidik saya dan rakan-rakan tanpa rasa penat dan lelah. Saya juga ingin menyusun sepuluh jari andai ada kesilapan yang saya lakukan sepanjang saya menghadiri kelas Dr. Saya akhiri entri kali ini dengan serangkap pantun.

Kalau ada sumur di ladang,

Boleh saya menumpang mandi,

Kalau ada umur yang panjang,

Boleh kita berjumpa lagi.


KRITIKAN DRAMA DAN FILEM


Pada ketika ini, kecondongan anak-anak muda kepada drama-drama cinta yang banyak disajikan di kaca televisyen juga tidak dapat dinafikan hakikatnya. Drama-drama yang popular seperti “Sayangku Kapten Mukhriz”, “Suri Hati Mr.Pilot”, “7 Hari Mencintaiku” ,”Isteri Tuan Ihsan”dan sebagainya mencatatkan angka tontonan yang tinggi. Plot yang berkisarkan mengenai cinta antara lelaki dan perempuan yang sudah tentu diakhiri dengan pengakhiran cerita yang bahagia menyebabkan jiwa dan minda anak-anak muda terarah kepada cinta antara pasangan kekasih. Minda mereka mudah terkhayal untuk mendapatkan pasangan yang sempurna seperti dipaparkan menerusi drama-drama tersebut. Lebih buruk lagi apabila drama-drama tersebut bersiaran pada waktu Maghrib sehingga menyebabkan anak-anak muda melengah-lengahkan solat atau lupa menunaikan kewajipan dan tanggungjawab mereka kepada Allah s.w.t. Jika dinilai dari sudut pembangunan jiwa insan, sudah tentu drama-drama yang ditonjolkan itu tidak membangun jiwa mereka kerana meninggalkan impak yang buruk iaitu melalaikan hati mereka untuk mengingati Allah. 


Selain itu, terdapat banyak filem yang mendedahkan pelbagai budaya luar dan aksi-aksi ganas yang mampu menjahanamkan peribadi dan sahsiah remaja yang masih berumur setahun jagung. Sebagai contoh, filem Buli, ‘Gengster’, KL Menjerit, Bohsia dan pelbagai lagi telah membudayakan amalan samseng dalam kalangan remaja yang masih hijau. Penerbitan filem dan rancangan yang berunsurkan keganasan yang sememangnya bertentangan dengan norma-norma kehidupan manusia ini. Kesannya, remaja akan meniru dan mengikuti aksi-aksi yang ditontoni tanpa memikirkan kesan atas tindakan mereka. Mereka yang sentiasa didorongan oleh semangat inkuiri akan melakukan gengsterisme terhadap orang lain seperti memukul dan mengugut untuk melihat keberkesanan rancangan yang ditontoni oleh mereka.

Oleh itu, kita sebagai masyarakat dan pengguna hendaklah bijak dalam membuat keputusan agar tidak menyesal di kemudian hari kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.


DUNIA HIBURAN MASA KINI

Di era globalisasi ini, gejala hiburan berlebihan semakin berleluasa seiring dengan kepesatan perkembangan teknologi yang membolehkan kita mengakses kepada pelbagai bentuk hiburan. Perkembangan rangkaian teknologi tanpa wayar (wireless) misalnya mendedahkan orang ramai terutamanya anak-anak muda kepada pelbagai rangkaian laman sosial seperti facebook, twitter, instagram dan sebagainya. Selain itu, aplikasi yang popular seperti Youtube pula membolehkan capaian terus kepada pelbagai hiburan dari segenap pelusuk dunia yang boleh ditonton secara dalam talian (online). Dalam pada itu, hiburan di kaca televisyen, radio dan media cetak juga tidak ketinggalan dan tidak lekang daripada menjadi anti-nuke muda. Realitinya, anak-anak muda kini semakin terdedah dengan lambakan hiburan yang bersifat melalaikan dan memberi impak kepada jiwa dan akhlak mereka.

Menjengah siaran-siaran di kaca televisyen, begitu banyak rancangan-rancangan hiburan nyanyian atau tarian berbentuk realiti seperti “Akademi Fantasia”,”Mentor Milenia”,”SuperStar”,”Gegar Vaganza” dan sebagainya yang melibatkan kanak-kanak sehingga peringkat yang berumur  Rancangan-rancangan ini secara tidak langsung turut memaparkan percampuran bukan muhrim, pendedahan aurat melalui pakaian yang menjolok mata dan tarian-tarian yang mengghairahkan. 


Selain itu, radio juga menjadi medium penularan hiburan yang berlebihan. Radio yang memainkan lagu-lagu berunsur cinta dan jiwang mengakibatkan jiwa anak-anak muda mudah terusik dan menggalakkan mereka menghabiskan masa untuk berkhayal memikirkan gerangan yang bakal menjadi ratu hati mereka. Jiwa anak-anak muda yang dibadai dengan arus hiburan yang berlebihan ini menyebabkan jiwa mereka kosong dengan ilmu pengetahuan agama. Namun, jika dipersoalkan mengenai lagu-lagu terbaru dari dalam dan luar negara pantas sahaja mereka mengingati tajuk lagu berserta lirik-liriknya.

Oleh itu, kita sebagai masyarakat dan pengguna hendaklah bijak dalam membuat keputusan agar tidak menyesal di kemudian hari kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

PENGEMBARAAN DI BANDUNG, INDONESIA


Adakah anda pernah mengembara ke Bandung, Indonesia?

Pada tahun 2017, pertama kali saya menjejakan kaki di bumi Indonesia bersama rakan-rakan . Masih terngiang-ngiang di benak fikiran saya perjalanan mengembara di Bandung. Bukan sekadar mengembara biasa namun penuh dengan kenangan terindah. Kami bertolak ke KLIA pada pukul 12 tengah malam. Kami tidur di kaki lima KLIA untuk menunggu penerbangan yang dijangka pukul enam pagi. Keesokan harinya, tepat jam 12 tengah hari kami tiba di lapangan terbang Husein Sastranegara . Masih terasa angin yang sungguh nyaman dan sejuk menampar wajah kami.

Kami menuju ke rumah tumpangan dan mempersiapkan diri untuk keluar berjalan-jalan. Kami melawat dua buah sekolah di Bandung iaitu Pasentren Al-Ashr Al-Madani dan Sekolah Yayasan Moseim . Semua pelajar di sana sangat peramah. Kami membuat beberapa aktiviti di sana untuk mengeratkan lagi hubungan antara kami dengan pelajar-pelajar tersebut. Selain itu, kami juga saling berkongsi keindahan dan keunikan negara masing-masing. Terlalu banyak maklumat baru yang kami perolehi tentang Bandung.

Di sana juga, kami tidak melepaskan peluang untuk mencuba makanan mereka. Masih terasa sehingga kini keenakan nasi bakar dan ayam pepes serta digandingkan dengan teh o gratis. Kami juga sempat melawat tempat-tempat yang terkenal di Bandung. Kami berpeluang melawat Farm House Lembang yang berkonsepkan kota eropah kecil. Seterusnya, kami mengunjungi Paskal Food Market yang merupakan syurga makanan bagi penduduk di sana pada ketika waktu malam. Namun begitu, kami sangat berhati-hati ketika memilih gerai makanan kerana di sana makanan halal dan tidak halah bercampur. Antara makanan yang kami sempat cuba di tempat itu ialah jagung bakar. Selain Paskal Food Market, Pasar Baru juga salah satu tempat yang wajib dilawati ketika di Bandung. Hal ini kerana tempat tesebut merupakan tempat untuk membeli belah cenderahati untuk dibawa pulang kepada orang yang tersayang. Sehingga ke hari ini, setiap kali menonton drama Indonesia, sudah pasti fikiran saya mengimbau kembali suasana di pasar baru itu dan keadaan trafik di sana.

Sampai di sini sahaja yang mampu saya ceritakan pengalaman saya ketika mengembara di Bandung, Indonesia bersama rakan-rakan. Semoga ada rezeki untuk menjelajah di tempat lain pula.


Khamis, 23 Julai 2020

PENGALAMAN MEMBACA BUKU KREATIF

Indah sungguh ciptaan tuhan,

Mentari merah di waktu senja,

Assalamualaikum saya ucapkan,

Moga semua sihat sejahtera.

Ketika ini negara kita sedang menjalani perintah kawalan pergerakan pemulihan bagi memutuskan rantaian Covid-19 yang melanda seluruh dunia. Walaubagaimanapun, apakah yang anda lakukan sepanjang tempoh perintah kawalan? Adakah anda menghabiskan masa sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan sebelum ini dengan aktiviti yang berfaedah? Di sini saya ingin berkongsi beberapa buah komik islamik yang sudah selesai dibaca. Pasti kamu semua tertanya-tanya kenapa saya lebih cenderung memilih komik berbanding buku-buku yang lain. Saya lebih menyukai komik kerana di dalamnya mengandungi gambar-gambar kartun yang dapat menarik minat saya untuk membacanya. Bukan itu sahaja, kartun-kartun tersebut juga sedikit sebanyak menjelaskan gambaran yang ingin disampaikan oleh penulis selain menghilangkan rasa bosan dek melihat tulisan semata-mata. Walaupun ianya hanya sekadar komik, tetapi ia sangat memberi kesan kepada saya terutama dalam bab-bab keagamaan. Namun, saya yakin bahawa setiap orang mempunyai cara mereka yang tersendiri untuk memupuk sikap membaca dalam diri masing-masing.

Antara komik yang saya baca ialah komik 33 Pesan Nabi, Islam Sehari-Hari dan Hari-Hari Sayang Nabi.

1- komik 33 Pesan Nabi

Penulis: vbi_djenggotten

Terbitan: Humaira Bookstore Enterprise

           

Komik ini menceritakan tentang pesanan nabi kepada umatnya berpandukan kepada hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukahri dan Muslim yang disampaikannya dalam bahasa komik yang menarik, ditambah pula dengan contoh cerita yang sinonim dalam kehidupan masyarakat sekarang meliputi aspek sosial, politik mahupun budaya.

2- Islam Sehari-Hari

Penulis: vbi_djenggotten

Terbitan: Humaira Bookstore Enterprise

               

Komik ini mempersembahkan aklak-akhlak islam yang sepatutnya diamalkan oleh setiap individu dalam kehidupan seharian. Ianya disampaikan dengan sangat menarik, mudah dan santai. Di samping itu, komik ini juga diselitkan dengan lawak jenaka tetapi padat dengan teguran yang bersahaja. Penulis menegur budaya yang tidak elok tetapi sering diamalkan oleh masyarakat kita pada masa kini. Justeru itu, komik ini amat sesuai dihadamkan oleh semua peringkat umur.

3- Hari-Hari Sayang Nabi

Penulis: Nik Wafdi

Terbitan: Humaira Publication Sdn Bhd.

              

Komik ini memuatkan lebih 60 hadis pilihan yang mendidik hati dan mencuit iman dengan ilustrasi kartun yang menarik. Selain itu komik ini juga memuatkan pelbagai panduan berakhlak mulia seperti bercakap benar, menghormati hak orang lain dan pelbagai lagi.

Saya berharap agar apa yang saya kongsikan pada entri kali ini boleh menjadi pencetus kepada anda semua untuk terus membaca. Jadi, ayuh kita isi masa terluang kita dengan membaca buku kerana membaca mampu menambahkan ilmu pengetahuan dan maklumat baru kepada kita.

خَيرُ جَلِيسٍ فِي الزَّمَانِ كِتَابُ

Sebaik-baik teman pada setiap waktu ialah buku.


KESENIAN BATIK


Adakah anda pernah memakai kain batik atau baju batik?

Batik dikenali sebagai salah satu bidang kraftangan tradisional yang terkenal di malaysia. Sehingga kini, perusahaan pakaian batik malaysia banyak tertumpu di negeri-negeri di pantai timur, iaitu kelantan dan terengganu. Hasil pembuatan batik di malaysia amat dikenali di peringkat antarabangsa. Rekaanya yang bermutu tinggi dan coraknya yang unik menambat hati peminat pakaian tradisional. Di sini saya akan menceritakan jenis-jenis batik dan kegunaan batik di malaysia.

Jenis-jenis batik di Malaysia:


 

Batik Blok atau dikenali juga sebagai Batik Terap, Batik Cap atau Batik Pukul. Batik Blok dihasilkan menggunakan blok kayu atau blok besi atau tembaga. Blok yang diukir timbul dengan corak-corak menarik digunakan untuk menerap kain. Blok dicelup ke dalam pewarna sebelum diterap ke atas kain. Teknik blok ini adalah antara teknik yang terawal digunakan dalam pembuatan batik.


              

Batik Canting atau dikenali sebagai Batik Lukis atau Batik Tulis. Batik Canting ialah batik yang dilukis tangan menggunakan kaedah mencanting iaitu campuran lilin cair dimasukkan ke dalam alat canting kemudian dilakar di atas permukaan kain dasar yang diregang di atas pemidang. Proses mencanting ini dilakukan bagi membentuk motif dan reka corak batik yang telah dilukis. Batik Canting ini ialah batik yang paling popular sehingga ke hari ini kerana corak dan motifnya yang unik dan eksklusif.     


           

Batik Skrin juga dikenali sebagai Batik Stensil atau Batik Sutera Saring. Batik jenis ini menggunakan teknik cetak sutera saring dan tidak menggunakan lilin. Warnanya lebih tahan lama dan tidak luntur. Proses pembuatannya cepat dan harganya lebih murah.

Kegunaan batik di Malaysia:

1) Untuk wanita, kain batik selain digunakan sebagai kain sarung dan kain basahan di rumah, ia juga boleh disesuaikan dengan fesyan baju kurung atau kebaya.

2) Fesyan lelaki juga tidak terlepas dengan corak batik yang dijadikan sebagai kemeja.

3) Pakaian corak batik sering digunakan dalam majlis-majlis keramaian dan formal. Sebagai contoh, sektor awam mewajibkan pekerjanya memakai pakaian batik pada setiap hari khamis.

Ole itu, sebagai rakyat malaysia, kita seharusnya sentiasa berusaha memartabatkan batik malaysia dan berbangga dengan keunikan ini.


TOKOH AGAMAWAN YANG DIKAGUMI


Adakah anda perhatikan bahawa akhir-akhir telah ramai tokoh-tokoh ulama yang pergi meniggalkan kita?

Hari ini saya akan berkongsi tentang tokoh ulama’ atau tokoh agamawan yang paling saya kagumi. Siapa yang tidak mengenali insan yang bernama Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merupakan bekas Menteri Besar Kelantan. Di sini saya sertakan biodata ringkas tentang Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Nama: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat

Tempat lahir: Kampung Pulau Melaka, Kelantan.

Pengajian:

- Pondok Tuan Guru Hj. Abbas, Besut

- Universiti Deoband India

- Universiti Lahore Pakistan

- Universiti Al-Azhar

- Sarjana Muda Bahasa Arab

- Sarjana Perundangan Islam

 

Saya memilih Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai tokoh yang paling dikagumi kerana keilmuan beliau yang tinggi terutama dalam bab agama. Beliau mempunyai kemampuan berbahasa arab dengan baik. Justeru itu, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz mempunyai bacaan buku islam yang agak luas, terutama dalam bidang induk ilmu islam seperti tafsir al-quran, ilmu hadis dan ilmu feqah. Bukan itu sahaja, beliau juga mempunyai kemampuan untuk menghuraikan sesuatu perbahasan yang rumit dalam agama islam dengan laras yang mudah difahami. Beliau juga tidak lokek dengan ilmu yang dimilikinya. Buktinya, selepas pulang ke tanah air, beliau telah berkhidmat sebagai pendidik di beberapa buah sekolah.

Selain itu, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz sangat mencontohi kehidupan rasulullah. Hal ini dapat dilihat melalui aspek pemakaiannya seperti sentiasa memakai serban walau dipasangkan dengan apa jua pakaian. Di samping itu, beliau juga seorang yang sangat serius apabila melibatkan perkara ibadah terutama perkara yang melibatkan solat fardhu. Beliau turut memandang serius perkara yang berkait dengan masa dan penjagaannya. Tuan guru juga seorang yang sangat suka membaca. Baginya, membaca adalah prasyarat seseorang untuk mendalami dan memahami akan sesuatu perkara.


Oleh itu, tidak dinafikan bahawa Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz merupakan antara tokoh ilmuan islam yang hebat. Kesimpulannya, kita seharusnya mempunyai tokoh yang dikagumi untuk dijadikan contoh teladan dalam kehidupan kita selain menjadi pembakar semangat kepada kita tatkala kita jatuh.