Khamis, 23 Julai 2020

PENGALAMAN YANG TIDAK DAPAT DILUPAKAN KETIKA DI KOLEJ


Pada entri kali ini saya akan menceritakan tentang pengalaman saya ketika berada di kolej. Jika hendak dihitung, pasti tidak terkira untuk diceritakan. Oleh itu, saya telah memilih untuk menceritakan pengalaman yang paling saya tidak dapat lupakan sepanjang saya berada di kolej. Peristiwa ini berlaku ketika tibanya bulan Ramadan pada semester kedua. Mungkin sesetengah orang menganggap pengalaman berpuasa berjauhan daripada ibu bapa dan keluarga merupakan perkara biasa. Tetapi sebaliknya bagi saya. Hal ini kerana sepanjang hidup saya sejak dari zaman kanak-kanak sehinggalah ke tingkatan enam, saya tidak pernah berenggang dari keluarga. Bukan itu sahaja, saya juga tidak pernah merasai tinggal di asrama atau di kolej.

Inilah kali pertama saya tinggal berjauhan dengan keluarga. Tatkala kaki saya melangkah ke dalam Kolej 12, Universiti Putra Malaysia, kehidupan saya berubah sepenuhnya. Manakan tidak, semua perkara yang hendak dilakukan bergantung kepada kemahuan diri saya sendiri. Jika dahulu, ibu yang akan menyediakan sarapan, ayah akan menghantar ke sekolah tetapi itu semua tidak akan berlaku lagi. Segala keputusan terletak di tangan kita sendiri. Pada semester kedua, saya terpaksa menyambut kedatangan bulan Ramadan di kolej. Seminggu sebelum tibanya bulan yang mulia itu, saya telah mula berfikir dan merenung sendirian mengenangkan nasib yang akan saya lalui sepanjang bulan Ramadan itu seperti siapa yang akan kejutkan untuk sahur, macam mana hendak istiqamah dalam mengerjakan ibadah terawih, apa makanan yang akan disajikan ketika berbuka puasa dan bersahur. Jika berada di rumah, sudah pasti ibu dan ayah yang akan memutuskan perkara ini semua.

Sepanjang bulan Ramadan, saya akan bangun lebih awal dari kebiasaan. Saya akan mandi terlebih dahulu kemudian menyediakan makanan untuk bersahur. Saya masih ingat lagi, hari pertama saya bersahur hanya berbekalkan tiga keping roti dan segelas Air Milo. Alangkah sedihnya ketika itu tetapi itulah yang dikatakan pengalaman. Tetapi kadang kala, saya akan mengubah menu sahur dari roti kepada bubur nasi bagi mengelakkan rasa bosan dan jemu untuk bersahur sedangkan bersahur sangatlah dituntut dalam Islam. Kemudian, ketika berbuka puasa, saya tidak sendirian. Saya dan kawan-kawan berbuka puasa secara berjemaah. Cara ini bukan sahaja dapat  menghilangkan rasa rindu kepada keluarga bahkan dapat mengeratkan hubungan silaturrahim. Selain itu, jika ada waktu terluang atau ketika hujung minggu, kami akan mengunjungi bazar ramadan yang berdekatan dengan kolej kami untuk membeli kuih muih atau menukar menu berbuka. Saya juga sangat bersyukur kerana dikurniakan kawan-kawan yang baik di sekeliling saya. Setiap hari kami akan ke surau kolej bersama-sama untuk menunaikan Solat Isyak dan Tarawih berjemaah. Begitulah rutin harian saya sehingga habis bulan Ramadan.

Kenangan sebegini tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila. Oleh itu, hargailah masa kita ketika bersama orang-orang yang tersayang supaya tidak menyesal di kemudian hari.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan